PLANNER

June 5, 2009

PERANG AHZAB - SURAH AN-NISA’ 51 - 55

Pada bulan syawwal tahun kelima Hijrah berlakulah perang Ahzab atau Khandaq.

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya. Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia. Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan ugama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab (ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar. Maka di antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka). An-Nisa’ : 51 - 55

Sabab Turun Ayat

Suatu perancangan jahat telah diatur oleh beberapa orang pemimpin Yahudi (khususnya Bani Nadir yang tinggal di Khaibar), 20 orang daripada mereka telah keluar musafir ke Makkah bagi menemui pemimpin-pemimpin Musyrikin ke arah merancang suatu pukulan maut bagi melenyapkan Islam di Madinah. Di antara pemimpin-pemimpin itu ialah Salam bin Abi al-Haqiq. Mereka telah disambut dan dialu-alukan oleh pemimpin-pemimpin musyrikin Makkah dengan bertanyakan kepada mereka: “ Wahai orang-orang Yahudi! Kamu semua adalah ahli Kitab, sudah tentu kamu mengetahui pertelingkahan antara kami dengan Muhammad, kami mahu bertanya untuk mendapat penjelasan, adakah agama kami ini betul atau agama Muhammad! “.
Pemimpin-pemimpin Yahudi itu menjawab: “Agama kamulah yang betul”.
Bersempena dengan perkara ini ALlah SWT mendedahkannya dalam al-Quran sebagaimana ayat di atas.

Apabila mendengar jawapan yang begitu rupa, maka pemimpin-pemimpin Musyrikin Makkah bergembira dan bertambah semangat mereka utnuk memerangi RasuluLlah SAW . Maka janji untuk berkumpul di satu tempat sebelum bertolak ditentukan. Setelah itu pemimpin-pemimpin Yahudi menemui Qabilah Ghatfan untuk mengajak bersama-sama bagi memerangi RasuluLlah SAW. Di samping itu pula Musyrikin Makkah dapat mempengaruhi beberapa qabilah lain, sehinggakan Makkah berjaya mengumpulkan 4 ribu bala tentera. Ghatfan dan qabilah-qabilah yang lain berjumlah 6 ribu bala tentera. Maka jumlah mereka semua ialah 10 ribu orang bala tentera di bawah pimpinan Abu Sufyan bin Harb. SEDANGKAN penduduk Madinah dicampur lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan orang-orang yang uzur tidak sampai jumlahnya 10 ribu orang.

RasuluLlah SAW mengadakan mesyuarat untuk menghadapi ancaman yang besar itu. Akhirnya mereka menerima pandangan Salman al-Farisi supaya digalikan parit besar. Lalu RasuluLlah SAW dan para sahabat bekerja keras menggali parit (panjang 5 ribu hasta, dalam 7 – 10 hasta, lebar 9 hasta ke atas) walaupun dalam keadaan sejuk dan lapar kerana kekurangan bekalan sehingga Nabi SAW dan para sahabat terpaksa mengikat batu di perut. RasuluLlah terus memberi semangat dan peransang. Dengan kataNya:
اللهم إِنّ العَيشُ إلا عيشُ الآخرة *** اللهم انصُرِ الأنصار والمهاجِرة
“Wahai Tuhanku! Sebenarnya tiada hidup yang sebenar melainkan hidup di akhirat,
Wahai Tuhanku berilah pertolongan kepada Ansor dan Muhajirin”.
Para Sahabat menyahut: نحنُ الذين بايَعُوا محمّدًا *** على الجِهادِ ما بَقينَا أَبَدًا
“ Kamilah orang-orang yang bai’at (berjanji setia) kepada Muhammad *** untuk meneruskan jihad selagi kami hidup selama-lamanya”.

Bala tentera Islam hanyalah 3 ribu orang berbanding tentera musuh yang berjumlah 10 ribu orang. Maka peristiwa ini benar-benar menguji orang-orang Islam yang beriman di Madinah, bahkan juga menguji orang-orang munafiq dan orang-orang kafir yang berada di Madinah. Benarlah firman ALlah yang menceritakan peperangan ini.

Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". Surah al-Ahzab : 10 – 12


Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-Ahzab : 22 – 24

Di tengah-tengah kecamuk perang Ahzab yang memakan masa hampir sebulan…………..Yahudi Bani Quraizah pulak berpaling tadah menentang kepimpinan Islam Madinah, walhal mereka adalah rakyat negara Madinah.

Setelah sekian lama terkepung oleh bala tentera Ahzab, ALlah SWT telah memberikan pertolongan kepada golongan Islam dengan mengirimkan angin yang berhembus di malam hari yang amat dingin kepada pasukan musuh. Angin tersebut dapat memporak-perandakan kuali-kuali dan khemah-khemah musuh.


Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Al-Ahzab : 9

Pertolongan ALLah jugak berlaku dalam bentuk perpecahan dan saling syak wasangka di kalangan tentera Ahzab. Golongan Yahudi, Banu Ghatfan dan Musyrikin Makkah saling tidak mempercayai. Di mana ketika RasuLullah SAW dan para sahabat sedang dicengkam oleh rasa takut tiba-tiba datang seorang yang bernama Nu’aim bin Mas’ud berkata kepada RasulluLlah SAW,
“ Ya RasuluLlah, sesungguhnya aku telah masuk Islam . Dan kaumku tidak tahu akan keislamanku. Kerana itu perintahkan padaku mengikut kehendakmu”.
Nabi SAW menjawab, “ Sebenarnya awak bersama kami. Berusahalah sedaya upaya kamu untuk meringankan kami, فإن الحرب خدعة sesungguhnya perang itu adalah tipu muslihat”

Lalu beliau menjalankan muslihatnya melaga-lagakan antara tiga kumpulan yang besar itu.

Kaum Muslimin berdoa kepada ALLah,
اللهمّ اسْتُرْ عَوراتِنَا ، وآمِنْ رَوْعَاتِنَا
“ Ya ALlah Tuhan Kami! Peliharalah keselamatan diri kami dan
amankanlah hati kami daripada rasa takut”

Nabi SAW berdoa kepada ALLah,
اللهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ ، سَرِيْعَ الْحِسابِ ، اللهمَّ اهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ
“ Ya Tuhanku! Yang menurunkan kitab, lagi segera perhitungannya,
Ya ALLah! Binasakanlah mereka”
Doa Nabi saw dan para sahabat dimakbulkan. Golongan musuh menjadi porak peranda. ALlah menurunkan para Malaikat yang menghancurkan hati mereka dan angin yang kuat serta sejuk sehingga meranapkan khemah dan periuk musuh.

Peperangan itu berakhir dengan cabut larinya golongan Musyrikin Makkah untuk selama-lamanya dan tidak tidak pernah datang lagi selepas itu untuk memerangi orang-orang Islam .
Sebagaimana Sabda Nabi saw, لن تَغزُوكم قريشٌ بعد عامِكم هذا ولكنكم تَغزوهم
“ Tidak akan selama-lamanya memerangi kamu oleh kaum Quraisy
selepas tahun ini . Tetapi kamulah yang akan memerangi mereka”.

والله أعلم

No comments:

Post a Comment