PLANNER

June 7, 2009

GERAKAN ISLAM - TUNTUTAN DAN PRINSIP

Dunia Islam pada hari ini sedang menghadapi berbagai-bagai permasalahan yang mengongkongi segenap kehidupan orang-orang Islam. Permasalahan ini berpunca daripada kejahilan serta kelalaian ummat Islam sendiri terhadap agama yang mereka anuti itu. Akibat daripada itu maka timbullah berbagai-bagai fahaman assabiyyah dan sekular. Kepercayaan ini telah merosakkan asas aqidah ummat Islam sehinggalah mereka berpecah belah dan berhasad dengki di antara satu sama lain. Keadaan ini telah memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan atau melemahkan mereka semua sehingga mereka sudah tidak terdaya lagi untuk bangun menyuarakan kebenaran Islam. Kekuatan mereka menjadi lemah dan musuh-musuh Islam datang dari segenap penjuru menyerang mereka dan melakukan segala bentuk kekejaman terhadap umat Islam. Islam tidak merelakan semua ini terjadi dan melihat kaum muslimin menyerah kalah dan tunduk berlutut di hadapan musuh-musuh Allah dalam keadaan yang terhina dan memalukan. Oleh kerana itu Islam telah mewajibkan kepada penganutnya supaya bangkit semula dari kejatuhan yang memalukan itu untuk terus berusaha, beramal dan berkorban apa sahaja untuk membela Islam yang suci ini. Mereka hendaklah terus berjihad pada jalan Allah untuk menegakkan agama Allah dan membangunkan semula Daulah Islamiyyah di atas muka bumi ini.



Banyak terdapat nas-nas yang mengandungi kewajipan meneruskan jihad dan berada di dalam Jamaah, di antaranya adalah sebagaimana berikut :

1 - Firman Allah Taala di dalam Al Qur’an :

Maksudnya:

" Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu ( pejuang-pejuang ) kepada agama Allah sepertimana pernah diucapkan oleh Isa anak Maryam kepdda
pengikut-pengikutnya yang setia : Siapakah pembantu-pembantu aku ke jalan Allah, lalu
berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia: Kamilah pembantu-pembantu agama Allah : Maka berimanlah sebahagian daripada Bani Israel dan kufurlah sebahagiannya yang lain, maka Kami memberi pertolongan kepada golongan yang beriman lalu mereka menang dalam
pertarungan menentang musuh mereka."



2 - Individu yang telah memilih untuk beramal di dalam Jamaah Islamiyyah wajib berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang mempunyai keimanan yang teguh terhadap amal jama’I dengan segala tuntutannya, sehingga tugas yang penting ini menjadi sebati serta dapat menguasai dirinya.

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman :

Maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan
beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal
kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah
dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhanagamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah didalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamuorang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad)menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layakmenjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamukepada Allah. Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan."



3- Setiap individu yang telah menggabungkan dirinya dengan Jamaah Islamiyyah mestilah menyampaikan Islam kepada semua lapisan masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Mereka ini mesti memperkembangkan idea atau fikrah Islamiyyah kepada ummat manusia agar mereka itu mahu kembali menghayati Islam yang Syumul di dalam segenap kehidupan mereka. Kewajipan ini jelas sebagaiamana yang terdapat di dalam sabda Rasulullah S.A.W., antara lainnya Baginda telah bersabda :

Maksudnya :

" Orang-orang yang hadir pada hari ini hendaklah meyampaikan kepada orang yang tidak
hadir."



4 - Penerusan di dalam melaksanakan tuntutan yang maha suci ini adalah menjadi
tanggunjawab terhadap ummat Islam seluruhnya. Penerusan ini terus wujud, walaupun
golongan yang mengambil tanggungjawab ini ditindas dan ditekan dengan begitu hebat namun mereka terus mara sampailah kepada penghujungnya, iaitu golongan yang terakhir yang memerangi dajjal. Rasulullah S.A.W. telah bersabda, antara lainnya ialah :

Maksudnya :

" Akan terus wujud segolongan dari kalangan ummatku yang terus berjuang secara berterus terang di atas jalan yang benar menentang mereka-mereka yang menyanggahinya, sehinggalah yang terakhir di kalangan mereka memerangi dajjal."

المتساقطون على طريق الدعوة

GOLONGAN YANG GUGUR DI SEPANJANG JALAN DAKWAH

Muqaddimah
Gejala keguguran dari jalan dakwah adalah merupakan gejala umum, besar dan berulang-ulang. Ianya berlaku di mana-mana sahaja. Seorang yang dulunya aktif, hebat dan bertanggungjawab tiba-tiba hilang begitu sahaja.

Ada di antara mereka yang meninggalkan dakwah tetapi tidak meninggalkan Islam. Ada pula yang meninggalkan dakwah dan Islam sekaligus. Ada yang mengasaskan jamaah baru . Ada yang mengabungkan dengan jamaah lain dan sebagainya.

Keguguran Di Zaman Baginda saw.

1. Peristiwa dalam perang Tabuk - - - - Kaab bin Malik, Murarah bin arRabik dan Hilal bin Umayyah.
2. Pembocoran rahsia kerajaan Islam ------ Hatib bin Abi Baltaah.
3. Dan lain-lain.

Sebab-Sebab Berlakunya Keguguran
• Pertama : Sebab dalaman gerakan Islam
• Kedua : Sebab kelemahan individu
• Ketiga : Sebab luaran gerakan Islam

Pertama : Sebab dalaman gerakan Islam

a- Lemahnya tarbiyyah terutamanya bagi para pemimpin yang sepatutnya berakhlak Islam dan segala kerja terikat dengan Allah, ikhlas semata-mata kerana Allah. Hubungan anggota dengan harakah hendaklah berasaskan hubungannya dengan Allah dan Islam. Mereka tidak boleh lari dari suasana iman, tarbiyyah dan kerohanian. Walaubagaimana sibukpun setiap anggota jamaah samada peringkat jundi atau pimpinan mesti mengikuti program tarbiyyah.
b- Meletakkan anggota jamaah di tempat yang tidak sesuai tanpa mengambil kira keupayaan, kecenderongan, kebolehan, kelemahan dan kekurangan anggota. Ini mestilah diambil kira untuk semua bidang samada tarbiyyah, politik, harta-ekonomi atau riyadah.
c- Tidak membahagi-bahagikan kerja kepada anggota jamaah. Pengagihan kerja hendaklah betul dan tidak tertumpu pada sekumpulan kecil sahaja, sebahagian besar yang lain tidak ada kerja dakwah. Ini mengakibatkan hubungan anggota dengan jamaah dan hubungan anggota dengan anggota menjadi lemah. Akhirnya berlakulah kelemahan, keciciran dan keguguran.
d- Tidak mengambil berat hal ahli. Setiap orang ada masalah samada masalah peribadi, keluarga, kewangan, kejiwaan dan sebagainya. Oleh itu hubungan anggota mestilah berdasarkan kerohanian - taaruf, tafahum dan takamul mestilah wujud.
e- Tidak menyelesaikan masalah yang timbul dengan segera, akhirnya menjadi bertimbun, bercabang-cabang dan melahirkan pula masalah baru. Ini adalah kerana kelemahan pucuk pimpinan, kelemahan pentadbiran dan terlalu besar atau luasnya program-amal dakwah.
f- Berlakunya pertikaian dalaman (very dangerous) - rosak hubungan anggota, kerja dakwah terbengkalai dan timbul campurtangan luar, akhirnya hancur jamaah. Ini disebabkan oleh : a- Kelemahan pemimpin untuk memimpin.
b- Campurtangan kuasa luar
c- Berebut jawatan
d- Tidak iltizam dengan dasar dan keputusan jamaah
e- Kerja tak ada menyebabkan ahli tidak berkembang.

Kedua : Sebab kelemahan individu

a- Tabii yang tidak tetap, masuk gerakan sesuatu tarikan.
b- Takut sesuatu ke atas diri dan rezeki (ekonomi).
c- Melampau (ekstream) - tidak berdasarkan keupayaan dan mustakjilun.
d- Sifat bermudah-mudah dan sambil lewa dalam mengerjakan perintah Allah dan hukum-hakam akan bermudah dalam semua perkara.
e- Terperdaya dengan kedudukan dan menonjol diri - merosakkan diri dan pahala amalan.
f- Dengki pada orang lain terutama qiadah.
g- Fitnah senjata..

Ketiga : Sebab luaran gerakan Islam

a- Tekanan ujian dan tribulasi.
b- Tekanan keluarga terutama anak, isteri dan ibubapa.
c- Tekanan persekitaran, biiah yang ada samada solehah atau tolehah.
d- Tekanan gerakan merbahaya yang meragukan samada dari segi aqidah, kerohanian, kebendaan dan lainnya.
e- Tekanan bermuka-muka dan menunjuk diri akibat penyakit takabbur, riyak, ujub dan lainnya.

Akibat Buruk Keguguran Kepada Perjuangan Islam
  • Menyebabkan tersebarnya fitnah serta meracuni gerakan yang boleh meruntuh dan merugikan Islam dan dakwah
  • Terbuka rahsia-rahsia yang tidak mungkin terbuka.
  • Melemahkan gerakan dan menarik musuh untuk menghancurkannya.
  • Menghilangkan kepercayaan orang ramai kepada gerakan Islam Dan segala perancangan mungkin terhenti/gagal.

Penutup

Kita berharap agar Allah akan sentiasa memelihara hati-hati kita supaya kekal di atas kerja-kerja Islam dan ikhlas, tidak tergopoh gapah mengejar sesuatu kejayaan yang bukan pada waktunya, tidak tergesa-gesa dalam memilih jalan dan cara yang tidak dikenali asal-usulnya. Kesabaran

di atas jalan yang jelas sekalipun panjang, sukar dan lambat ADALAH lenih mulia daripada berada di jalan yang mudah tetapi dipenuhi kesamaran, kepura-puraan dan kebatilan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan makhluk Allah ialah para Nabi dan Rasul as. Namun merekalah yang paling banyak dan getir menghadapi ujian dan tekanan. Semoga kita sentiasa mengingati pesanan Allah ini,


وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. - {alAnam : 153}

والله أعلم

UKHUWWAH ISLAMIYYAH – PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

PERGERTIAN UKHUWWAH FILLAH

Ia adalah anugerah qudus daripada ALLah, sebagai suluhan Rabbaniyyah dan nikmat Ilahiyyah. ALlah mencampakannya ke dalam hati-hati hamba-hambaNYA yang ikhlas, para wali, orang-orang yang suci dan orang-orang yang bertaqwa.

Firman ALlah dalam surah al-Anfal, ayat 63

……. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Ukhuwwah FiLlah merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa. Tanpa iman tiadalah ukhuwwah, tanpa ukhuwwah tiadalah iman. Firman ALlah dalam surah al-Hujurat ayat 10,


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


KELEBIHAN-KELEBIHAN UKHUWWAH FILLAH

1. Wajah mereka seperti nur.
2. Mereka diampunkan dosa.
3. Mereka berada di bawah naugan Arasy ALlah pada hari qiamat.
4. Mereka dilingkungi kasih ALlah.
5. Mereka mendapat tempat dalam syurga dan keredhaan ALlah.
6. Mereka dapat merasai kemanisan iman.


SYARAT-SYARAT UKHUWWAH FILLAH

1. Ikhlas kerana ALlah
2. Disertakan dengan iman dan taqwa
3. Mestilah bertanggungjawab terhadap manhaj Islam.
4. Mestilah tegak atas nasihat kerana ALlah.
5. Saling bertolongan di masa lapang dan sempit


CARA-CARA UNTUK MENDALAMI RUH UKHUWWAH FILLAH

1. Apabila seseorang mencintai saudaranya hendaklah dia memberitahunya bahawa dia mencintainya.
2. Bila hendak berpisah maka mintalah supaya didoakan di masa berjauhan.
3. Hendaklah banyak menziarahi dari masa ke semasa.
4. Hendaklah segera berjabat tangan apabila bertemu.
5. Hendaklah mengucap tahniah di masa yang munasabah.
6. Memberi hadiah di masa yang sesuai.
7. Memberi keutamaan dalam menunaikan hajatnya.
8. Hendaklah memberi hak ukhuwwah yang lengkap seperti hak seorang muslim seperti bersin dan lain-lain.


HAK-HAK UKHUWWAH FILLAH

Hak-hak ukhuwwah mengikut pandangan Islam terbahagi dua bahagian:
Pertama : Hak-Hak ‘Am
Kedua : Hak-Hak Khas

Hak-Hak ‘Am
1. Melebarkan salam
2. Menjawab salam.
3. Melawat pesakit.
4. Mengiringi jenazah.
5. Menerima jemputan.
6. Menyebut “YarhamukaLlah: kepada yang bersin.
7. Menolong orang teraniaya
8. Melapangkan orang yang dalam kesusahan
9. Memejam mata dari keaiban orang.
10. Menjauhi daripada menganggu seperti dengki, hina, caci dll.

Hak-Hak Khas
1. Semua perkara dalam hak-hak am.
2. Dibolehkan makan di rumah sahabat fiLlah tanpa pengetahuan dan izinnya.
3. Pemulauan lebih daripada tiga hari atas sebab-sebab peribadi.
4. Sikap dan perilaku harus mempunyai sifat Ukhuwwah dalam setiap perkara dan keadaan spt lahirnya sifat iithar.
5. Melindungi kesilapan, merahsiakan keaiban dan tidak mengumpat al-akh.

June 5, 2009

TAHAALUF DALAM ISLAM

Oleh Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat

Terdapat Hadith Nabi saw. yang menjadi satu kaedah penting dalam Islam. Hadith ini riwayat Tarmizi (hadith hasan sahih)

الصّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ المُسْلِمِينَ. إلاّ صُلْحاً حَرّمَ حَلاَلاً أوْ أحَلّ حَرَاماً.

والمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ، إلاّ شَرْطاً حَرّمَ حَلاَلاً أوْ أحَلّ حَرَاماً

Perjanjian adalah harus dikalangan muslimin kecuali perjanjian mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram . dan Muslimin berpegang kepada syarat - syarat mereka kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram .

MUQADDIMAH

Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan bantu-membantu untuk menghadapi lawan.

Persefahaman ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji dan tertegaknya negara Islam.

Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.

Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan.

Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya:

Daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku menyahutnya.” (Riwayat Ibnu Ishaq)

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah deng prinsip Islam yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.

Hukum Tahaaluf


Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya.Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ditolaknya.

Syarat-syarat Tahaaluf

1.Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip


Dalil-dalilnya ialah:

a) Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolak-ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya.”

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w.

b) Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn Daghnah yang bersedia untuk memberi perlindungan kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn Daghnah mensyaratkan kepada Abu Bakar supaya jangan beliau membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam. Contoh maslahat yang diizinkan: a.Ke arah kedaulatan Islam dan pelaksanaan syariatnya.

Dalam situasi kegagalan idealogi-idealogi asing dan kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan orang- orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam idealogi bukan Islam dan kumpulan orang bukan Islam yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam, maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah dalam memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam pilihanraya, dalan persidangan dewan dan sebagainya, dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan dengan sepenuhnya dan kita tidak memaksa mereka untuk menganut Islam (tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka).

Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan orang-orang Yahudi.

b.Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral

Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini.

Contohnya, bekerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya kerana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah s.a.w. walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.


Dan sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: Dua orang anak muda yang mana salah seorang di antaranya dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar.Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak: Wahai orang Muhajrin! Manakala kaum Ansar berteriak: Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti Jahiliyah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar di mana salah satu dari keduanya berusaha memukul bahagian tubuh yang satunya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu menyembunyikan persoalan. Seharusnya kamu menolongnya baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya." (Riwayat Muslim)

2.Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan

Dalilnya:

a) Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sma menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan denga Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.

3.Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka

Di antaranya ialah tidak mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali ‘Imran: 28)

Berwala maknanya menjadikan sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan secara zahir, tetapi hatinya tidak redha di samping berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.

Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman secara sementera waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (gencatan senjata).

Disebut dalam “Syarah Muhazzab” (karangan Imam Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya.

Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.

Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan)

Apabila adanya persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong, iaitu mereka berjanji untuk menolong kita dan kita berjanji untuk menolong mereka.

1.Mereka menolong kita

Menurut Syeikh Sayid Sabiq dalam “Fiqh al-Sunnah”, adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan daripada golongan munafik dan fasik kerana Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubai (seorang minafik) menyertai peperangan bersama-sama baginda. Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasik) yang mabuk dalam peperangan menentang Parsi.

Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat kekhilafan di kalangan fuqaha’:

a)Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharusnya secara mutlak b)Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan c)Imam Syafi’I mengharuskannya dengan syarat: a.Apabila orang-orang Islam berada di dalam keadaan lemah b.Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya bahagian ghanimah.

2.Kita menolong mereka

Menurut al-Sarkhasi di dalam kitabnya “al-Mabsut”, dan al-Syaibani di dalam kitabnya “al-Siyar al-Kabir”, Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ‘Ajwat kepada Abu Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Makkah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Makkah dilanda kemarau.

Menurut Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, “Zad al-Ma’ad”, apabila Sumamah bin al-Sal r.a., pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Makkah sehingga penduduk Makkah berada dalam keadaan kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Makkah merayu kepada Rasulllah s.a.w. menasihatkan Sumamah agar menghentikan sekatannya.

KESIMPULAN

Tahaaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1.Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:

a)Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam b)Mengiktiraf negara Islam c)Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya

2.Tahaaluf tanpa membentuk negara:

a)Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar b)Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya c)Berlindung sementara ketika lemah d)Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah

Perhatian

Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah yang tidak berperanan.

Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yangkuat yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden.Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.

5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.

6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah s.w.t dan kebijaksanaan kurniaanNya.

PENUTUP

Nas-nas dikaji menunjukkan tahaaluf boleh dilakukan secara melibatkan gerakan menguasai negara secara menyeluruh dan secara khusus menghadapi isu-isu atau situasi-situasi yang khusus dengan memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas.

Kesesatan Syiah

BAI'AH DAN PENDETAILANNYA

Saya Mesti Memahami Syarat-syarat Baiah dan Keanggotaan

Sebenarnya setiap orang Muslim mampu membantu Harakah Islamiyah dalam menunaikan tanggungjawab beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam. Ini dapat dilakukan dengan cara mereka menyertai barisan harakah setelah mereka memiliki sifat-sifat yang telah disebutkan iaitu mereka merasai dan menyedari kepahitan yang sedang dideritai oleh umat Islam hari ini dan mereka mengetahui sebab-sebab yang membawa kepada penderitaan tersebut. Kemudian mereka juga yakin kepada kemampuan dan keampuhan Islam untuk bangun semula dan menyelamatkan umat ini, mampu mengangkat mereka kepada martabat yang tinggi dari sudut keinsanan, akhlak dan peradaban, di samping melaksanakan tuntutan iman yang mengarahkan manusia supaya tunduk patuh secara menyeluruh kepada hukum-hakam Islam dan dasar-dasarnya dalam seluruh urusan hidup.

Kualiti dan Kuantiti.

Adalah menjadi kebiasaan Harakah Islamiyah mempelbagaikan cara dalam usaha meningkatkan mutu saff jama'ah dan memperbanyakkan ahli-ahlinya dengan cara-cara yang dibenarkan oleh Islam. Namun demikian kerja-kerja menghimpun atau memperbanyakkan ahli-ahli ini janganlah sampai ia menghimpun apa saja jenis manusia yang ditemui, kerana kualiti (mutu) itu lebih penting dari bilangan. Jama'ah selalunya berusaha berdakwah dengan bersungguh-sungguh mengorbankan tenaga dan waktu untuk mendapat seorang anggota baru dengan harapan anggota baru ini dapat memikul sebahagian dari tanggungjawab dan tugas jama'ah. Tetapi sekiranya diambil anggota secara sembarangan tentulah harakah tidak mampu menanggung beban dari anggota-anggota sedemikian sepanjang umur mereka. Jika ini terjadi rugilah tenaga yang dicurahkan dan sia-sialah usaha.

Seorang manusia adakalanya menjadi satu umat tetapi ada kalanya ia menjadi bebanan yang merosakkan orang lain malah tidak berguna sama-sekali. Orang seperti ini adalah lebih baik tidak diambil kira. Dalam hal seperti ini banyak pengajaran yang dapat dijadikan I'tibar. Allah menceritakan:


وَيَوْمَ
حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Maksudnya:

"Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri." (Surah Al-Taubah 9: Ayat 25)

Sebenarnya bilangan yang banyak bukanlah menjadi perhitungan yang utama, tetapi yang utama ialah anggota yang benar-benar mengenal Allah, teguh pendirian dan benar-benar memperjuangkan kebenaran. Bilangan yang banyak ada kalanya menjadi sebab membawa kepada kekalahan kerana sebahagian yang ikut serta itu terdiri dari mereka yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Apabila menghadapi saat-saat genting dan getir, pendirian mereka ini akan mudah goncang dan goyah. Dengan sifat demikian mereka ini menyebabkan kelemahan jiwa para anggota dan ketewasan di dalam medan jihad.

Oleh yang demikian membuat penilaian dan pembahagian terhadap anggota-anggota merupakan satu amalan yang membawa kebaikan kerana dengan cara itu jama'ah dapat menilai dan mengetahui sejauh mana kemampuan dan kemanusiaan para anggota sebelum sesuatu tugas itu dimulakan. Pembahagian yang dilakukan tidaklah bermakna harakah membiarkan sebahagian anggota yang lain, malah terhadap mereka juga harakah mestilah mengambil perhatian berat dengan cara memberi kesedaran dan tarbiah sehingga mereka juga akan menjadi individu-individu yang setia kepada jama'ah.


Baiah dan Hukumnya Di Sisi Syarak.

Baiah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap amir dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci.

Baiah ialah suatu perbuatan sunnah Nabi yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, Baiatul Aqabah kedua, Baiatul Ridhwan. Selepas kewafatan baginda para sahabat terus berbaiah kepada Ulil-Amri mereka.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari 'Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: "Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda... kemudian 'Ubadah berkata: "Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas." (Dari Sahih Al-Bukhari-Bab Al-Fitan)

Dalam bukunya "Fi Al-Din Al-Khalis" Sadiq hasan Khan berkata: "Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat."

Di dalam tafsirannya terhadap hadis ini Ibnu Hajar menyatakan: "Dalam keadaan yang kita sukai atau dalam keadaan yang kita benci, iaitu dalam keadaan kita merasa cergas (serta bersemangat) dan dalam keadaan kita merasa lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan". Al-Daudi pula berkata: "Maksudnya ialah sesuatu yang kamu membencinya." Manakala Ibn Al-Tin pula berkata: "Yang jelas apa yang dimaksudkan ialah pada waktu malas dan kesusahan." (Fathul-Bari Jil 13, ms 6)

Abnul Juzi Al-Maliki pula berkata: "Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah." (Qawaniyyah Fikhiyyah 14)

Seorang saudara petugas yang jujur wajiblah berpegang dengan kewajipan yang diamanahkan ke atas dirinya dalam mua'malah dengan mas'ul dan pimpinan dakwah. Saudara petugas mestilah mengelakkan diri mencari-cari kecacatan dan keaiban saudaranya, kerana sikap berbaik sangka terhadap seorang saudara yang lain adalah dasar asal yang mesti diikuti, bukannya mengikuti cara-cara kepartian yang jauh dari sifat takwa dan semangat keagamaan dan ingatlah setiap bidaah itu adalah sesat.


Taat dan Hukum Syarak.

Taat ertinya menurut perintah. Apabila taat tidak berlaku maka maksiat dan fitnah akan menggantikan tempatnya. Bagi sesorang Mukmin bibit-bibit fitnah itu pada mula mungkin tidak begitu jelas sehingga ia tidak merasai kewujudan fitnah itu kecuali setelah ia benar-benar terjadi. Oleh yang demikian ia wajib berhati-hati dalam segala tutur katanya, perbuatannya dan tindak-tanduknya supaya semua perbuatan-perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman.

Memberi ketaatan (kepada yang berhak) adalah wajib selama ia tidak termasuk dalam perkara maksiat atau perkara yang boleh membawa maksiat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah Al-Nisa' 4: ayat 59)

Diriwayatkan dari Abu Hurar.a bahawRasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah s.w.t. Barangsiapa yang menderhakaiku bererti ia telah menderhakai Allah s.w.t. Barangsiapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barangsiapa yang menderhakai amir-amirku bererti ia derhaka terhadapku". (Hadis)

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bin Malik yang berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Dengarlah dan taatlah sekalipun yang dilantik untuk menjadi ketuamu itu seorang hamba Habsyi (yang hitam)."

Satu riwayat yang lain dari Ibnu 'Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada amirnya, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya tidak seorang pun yang memisahkan diri dari jama'ah walaupun sekadar sejengkal kecuali ia mati dalam keadaan jahiliyah."

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang memisahkan dirinya dari ikatan jama'ah sekadar sejengkal sesungguhnya ia telah menanggalkan ikatan Islam dari tengkuknya."

Imam Bukhari juga meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Umar yang menyebabkan Rasulullah s.a.w bersabda:

"Dengar dan taat adalah wajib atas setiap orang muslim dalam perkara yang ia suka atau benci selama ia tidak disuruh berbuat maksiat. Apabila ia disuruh berbuat maksiat maka tidak wajib lagi ia mendengar dan mentaati."

Imam Bukhari juga meriwayatkan sebuah hadis yang berlangsung disandarkan kepada Sayidina Umar bahawa beliau:

"Sesungguhnya manusia di zaman Rasulullah s.a.w dihukum dengan wahyu tetapi sekarang wahyu telah terputus. Oleh yang demikian kami akan menghukum kamu berdasarkan apa yang zahir (jelas) dari amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada kami, kami akan melindunginya dan mendekatinya. Kami tidak berhak mencari rahsia hatinya sedikitpun. Allahlah yang akan menghisab perkara yang berkaitan dengan hatinya. Sesiapa yang melakukan kejahatan kepada kami, kami tidak akan melindunginya dan tidak akan membenarkannya sekalipun ia menyatakan niatnya baik". (Riwayat Bukhari).

Rukun-rukun Baiah:

Bergabung dengan Harakah Islamiah pada hakikatnya bermaksud bergabung secara langsung atau amalan di dalam Islam. Ia merupakan permulaan perjanjian baru dengan Allah dan memberikan baiah untuk beramal dan berjihad pada jalan-Nya.

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata:

"Rukun baiah kita semuanya sepuluh, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya".

1. Faham.

2. Ikhlas.

3. Amal.

4. Jihad.

5. Berkorban.

6. Taat.

7. Tetap Pendirian.

8. Tegas.

9. Persaudaraan.

10. Percaya.

Kemudian Imam Hassan Al-Banna mentafsirkan rukun-rukun di atas satu persatu. Beliau menyatakan:

1. Faham:

Hendaklah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiah yang sejati dan hendaklah saudara memahami Islam sebagaimana kami (para pemimpin) memahaminya berdasarkan usul dua puluh (prinsip) yang ditetapkan. Kami ringkaskan prinsip-prinsip tersebut adalah sebagaimana berikut:

1.1- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam adalah satu sistem yang lengkap (syamil) mencakupi seluruh bidang kehidupan.

1.2- Hendaklah saudara memahami bahawa Al-Quran dan Sunnah adalah sumber rujukan bagi setiap orang muslim dalam memahami segala hukum-hakam Islam.

1.3- Hendaklah saudara memahami bahawa iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah merupakan cahaya kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya kasyaf, mimpi, ilham dan lintasan-lintasan hati tidaklah menjadi dalil hukum Islam (syarak) dan tidak boleh dibuat pegangan kecuali jika ianya bercanggah dengan hukum-hakam Islam dan nas-nas agama.

1.4- Hendaklah saudara memahami bahawa semua jenis tangkal, jampi, mantera, tilikan dan ramalan, mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, nujum atau apa sahaja yang seumpamanya adalah satu kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jika jampi-jampi tersebut terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma'thur yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.

1.5- Hendaklah saudara memahami bahawasanya pendapat Imam dan naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan dalam masalah yang boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu pentafsiran dan dalam perkara yang melibatkan maslahah mursalah, boleh diamalkan (dipegang) selama ia tidak berlawanan dengan kaedah-kaedah syarak.

1.6- Hendaklah saudara memahami bahawa sesungguhnya perkataan dari seseorang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang maksum.

1.7- Hendaklah saudara memahami bahawa bagi seseorang Islam yang taraf keilmuannya belum sampai ke peringkat mampu meneliti dalil-dalil hukum-hakam Syariat Islam maka hendaklah dia mengikuti salah seorang dari Imam-imam (mujtahid) dalam Islam.

1.8- Hendaklah saudara memahami bahawa perbezaan-perbezaan (pentafsiran dan pegangan) dalam hukum-hakam fekah dalam soal-soal cabang (furu') tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.

1.9- Hendaklah saudara memahami bahawa perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk di dalam erti takalluf (usaha yang memberatkan) yang ditegah oleh agama.

1.10- Hendaklah saudara memahami bahawa mengenali Allah Tabaraka Wa Taala, mentauhidkannya dan menyucikannya (dari segala sifat kekurangan) adalah setinggi-tinggi akidah Islam. Kita beriman dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Sahih tentang sifat-sifat Allah sebagaimana zahir ayat-ayat tanpa takwil dan juga tanpa membekukan nas-nas tersebut.

1.11- Hendaklah saudara memahami bahawa setiap amalan bidaah di dalam agama Allah (Islam), yang tidak ada asal-usulnya mestilah dihapuskan dengan cara yang paling bijak.

1.12- Hendaklah saudara memahami bahawa bidaah Idhafiyyah (yang ditokok-tambah), bidaah tarkiyyah (bidaah yang meninggalkan amalan yang sunnah) serta beribadat dengan cara tertentu di dalam ibadat-ibadat mutlak (khusus) adalah masalah khilafiah dalam fikah di mana setiap golongan mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa jika dibincangkan dengan tujuan memberi kebenaran yang disertakan dengan dalil dan keterangan (bukti).

1.13- Hendaklah saudara memahami bahawa mengasihi orang-orang yang salih, menghormati mereka dan menyebut kebaikan-kebaikan mereka yang kita ketahui adalah satu sikap yang akan membawa kita bertambah dekat dengan Allah s.w.t.

1.14- Hendaklah saudara memahami bahawa menziarahi kubur walau bagaimana sekalipun keadaannya adalah suatu perkara sunnah yang disyariatkan mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

1.15- Hendaklah saudara memahami bahawa berdoa kepada Allah yang diiringi dengan bertawassul kepada makhluknya yang tertentu (orang-orang salih) adalah perkara khilafiah furu'ie tentang cara-cara berdoa. Ia bukanlah satu persoalan akidah.

1.16- Hendaklah saudara memahami bahawa adat-adat kebiasaan manusia yang salah tidak dapat mengubah pengertian hakiki dari lafaz syarak.

1.17- Hendaklah saudara memahami bahawa akidah (yang bersih) adalah asas segala amalan dan amalan hati adalah lebih penting dari tubuh-badan. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal ini adalah dituntut oleh syarak sekalipun tuntutan itu berbeza-beza mengikut keadaan.

1.18- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam memberi kebebasan kepada akal dan mendorongnya supaya memerhati dan mengamati rahsia-rahsia alam, malah Islam mengangkat darjat dan martabat ilmu dan para ulama (ilmuan) serta mengalu-alukan segala hasil kajian ilmiah yang memberi manfaat.

1.19- Hendaklah saudara memahami bahawa pandangan syarak dan pandangan akal ada kalanya kelihatan tidak seiring tetapi syarak dan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'ie (telah jelas dengan dalil). Oleh itu hakikat ilmiah yang sah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan kaedah syariat yang tetap. Apabila terdapat sesuatu penentangan maka perkara-perkara yang bersifat zanni (atau perkara-perkara yang pendapat akal biasa semata-mata) itu, hendaklah diulas dan ditakwilkan supaya sesuai dengan hakikat qai'ie, tetapi seandainya terdapat pertentangan di antara kedua-dua perkara yang bersifat zanni berlaku maka hendaklah diutamakan pandangan syarak dakal biasa dan pandangan syaraklah yang lebih patut disehinggalah peperkara zanni akal tadi benar-benar dapat dibuktikan kebenarannya. Jika tidak demikian maka gugurlah pandangan akal itu dengan sendirinya.

1.20- Janganlah saudara mengkafirkan seorang muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadat dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya serta menunaikan perkara-perkara yang diwajibkan sama ada kerana ia berpegang kepada pendapat tertentu atau melakukan maksiat - kecuali ia sendiri berikrar dengan mengakui kekufuran atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan lagi kecuali dengan makna kufur.

2. Ikhlas.

Hendaklah seorang saudara muslim itu berniat bahawa segala perkataannya, pekerjaannya dan perjuangan jihadnya adalah kerana Allah dan untuk mendapat keredaan-Nya dengan tidak mengharapkan keuntungan, pangkat kedudukan, kemegahan dan gelaran. Dengan niat yang ikhlas itu saudara akan menjadi seorang tentera (yang setia) kepada fikrah dan akidah bukan tentera yang tamakkan keuntungan dan kepentingan diri.

3. Amal.

Apa yang dimaksudkan dengan amal di sini ialah melakukan Islah (pembaikan) terhadap diri sendiri, membina rumah tangga muslim, membimbing masyarakat, membebaskan tanah air, membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam, mengembelingkan kewujudan umat Islam di peringkat antarabangsa, menjadi petunjuk ajaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga tidak ada lagi fitnah serta halangan dan agama ini seluruhnya berjalan kerana Allah semata-mata.

4. Jihad.

Jihad yang dimaksudkan di sini ialah kewajipan yang berterusan sejak dahulu hingga ke hari kiamat iaitu kewajipan yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan pernah berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliah".

5. Berkorban.

Berkorban bermakna mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat.

6. Taat.

Taat bermaksud mematuhi perintah dan melaksanakannya di masa senang mahupun susah sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang dibenci.

7. Tetap Pendirian.

Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah setiap orang dari kalangan saudara terus-menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat sekalipun memakan masa yang bertahun-tahun lamanya sehinggalah dia bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu bermakna dia berjaya memperoleh salah satu dari dua kebaikan iaitu mencapai matlamat atau mati syahid.

8. Tegas.

Tegas atau tajarrud yang dimaksudkan ialah saudara membersihkan fahaman atau fikrah yang saudara bawa dari sebarang pengaruh prinsip-prinsip dan individu yang lain dari fikrah saudara kerana fikrah yang saudara dokong ini adalah fikrah yang tinggi lagi lengkap kerana Allah berfirman:

"Celupan Allahlah (yang lebih baik), siapakah yang lebih baik dari celupan Allah".

(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

9. Persaudaraan.

Persaudaraan yang dimaksudkan di sini ialah saudara mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh saudara-saudara sekalian dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.

Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah (Persaudaraan):

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani - ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah - yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.

Hakakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:

"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan".

2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

"Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair". (Hadis riwayat ).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).

10. Percaya.

Percaya atau thiqah di sini bermaksud kepercayaan seseorang tentera (jundi) yang mendalam terhadap kemampuan dan keikhlasan pimpinannya sehingga menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberikan ketaatan yang penuh kepadanya.

Kewajipan-kewajipan Seorang Saudara Muslim:

Di dalam risalah At-Taalim Asy-Syahid Hassan Al-Banna telah menetapkan lebih tiga puluh kewajipan bagi seseorang saudara muslim yang menggabungkan dirinya dengan Harakah Islamiah. Dengan kewajipan-kewajipan ini Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan setiap seorang muslim terhadap dirinya, rumah tangganya dan masyarakatnya. Beliau mengatakan:

"Wahai saudara yang jujur! Keyakinan saudara terhadap persetiaan (baiah) ini, menuntut saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut ini sehingga menjadi batu-batu yang kukuh bagi binaan kita".

  1. Saudara hendaklah mewiridkan (membaca) Al-Quran kira-kira satu juzuk setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya supaya dapat khatam dalam tempoh tidak lebih dari satu bulan tetapi janganlah dihabiskan dalam tempoh kurang dari tiga hari.
  2. Saudara hendaklah membaca Al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sanggup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya. Saudara juga hendaklah mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan sejarah angkatan salafussoleh yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada pada saudara. Sekurang-kurangnya saudara membaca buku "Hamalatul Islam" sebagai kajian permulaan. Hendaklah saudara memperbanyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan menghafal sekurang-kurangnya empat puluh hadis iaitu hadis 40 susunan Imam Nawawi. Saudara juga hendaklah mempelajari sebuah risalah atau kitab mengenai usul-usul akidah dan sebuah kitab mengenai hukum-hakam fekah.
  3. Saudara hendaklah segera berjumpa doktor supaya diperiksa kesihatan am saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit saudara hendaklah segera mencari ubatnya. Saudara hendaklah mengambil berat terhadap sebab-sebab kekuatan badan dan pemeliharaannya. Di samping itu saudara hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan.
  4. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari meminum kopi, teh atau minuman menyegarkan seumpamanya secara berlebihan. Janganlah saudara meminumnya kecuali di ketika yang sangat perlu dan janganlah sekali-kali saudara menghisap rokok.
  5. Saudara hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara, dalam rumah tangga, pakaian, makan-minum, tubuh-badan dan tempat kerja (pejabat) kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.
  6. Saudara hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.
  7. Saudara hendaklah menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali saudara memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.
  8. Saudara hendaklah bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab), semulia-mulia keberanian talah berani berterus-terang dalam perkara yang benar dan sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan diri sendiri, sanggup menyedarkan diri sendiri dan mampu mengawal diri ketika marah.
  9. Saudara hendaklah bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum.
  10. Saudara hendaklah bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk, dengan cara menunjukkan kegembiraan kepada sesuatu kebaikan dan menunjukkan kedukacitaan terhadap sesuatu yang buruk. Saudara hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan kerana merasa hina atau bertongkat dagu kepada orang lain. (Jika saudara menuntut sesuatu) saudara hendaklah memintanya kurang dari martabat kerana dengan cara demikian saudara dapat mencapai martabat sebenarnya dengan kebenaran.
  11. Saudara hendaklah berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan saudara melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang. Budi orang lain hendaklah dikenangkan walaupun ketika bermusuhan. Saudara hendaklah sanggup bercakap benar walaupun ke atas diri sendiri atau ke atas orang yang paling hampir dengan kamu walaupun ucapan itu pahit.
  12. Saudara hendaklah benar-benar cergas dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja kebajikan am sehingga saudara merasa bahagia dan menyenangkan perasaan apabila saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini saudara hendaklah menziarahi orang-orang yang sakit, membantu orang yang berhajat (memerlukan), meringankan orang yang menanggung bebanan dan melapangkan orang yang ditimpa bencana dan melapangkan orang yang ditimpa bencana walaupun sekadar mengeluarkan kata-kata yang baik dan manis. Kesimpulannya hendaklah saudara segera melakukan kebajikan.
  13. Saudara hendaklah bersifat belas-kasihan, pemurah dan bertolak-ansur. Dalam perkara ini saudara hendaklah memberi kemaafan dan mengampunkan kesilapan-kesilapan orang lain dan sentiasa bersabar dan bertenang. Bertimbang-rasa bukan terbatas kepada manusia sahaja malah terhadap haiwan sekalipun hendaklah saudara bertimbang-rasa. Saudara hendaklah memelihara pergaulan dan akhlak yang baik dengan orang ramai, memelihara adab-sopan secara Islam, menaruh belas kasihan terhadap yang lebih muda dan menghormati orang-orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk di dalam majlis-majlis perhimpunan, janganlah saudara mengintai-intai, mengumpat-umpat dan menceroboh. Saudara hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum memasuki ke satu-satu tempat dan ketika hendak mengundurkan diri daripadanya.
  14. Saudara hendaklah boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji risalah-risalah Ikhwanul Muslimin seperti akhbar-akhbar, majalah dan seumpamanya yang diterbitkan oleh mereka. Seboleh-bolehnya saudara hendaklah memiliki kutub khanah (perpustakaan) sendiri walaupun kecil. Dengan ini saudara pula hendaklah mendalamkan ilmu pengetahuan dan kepandaian saudara. Jika saudara termasuk dalam golongan yang mempunyai pengkhususan berkenaan urusan-urusan dalam bidang tertentu, saudara hendaklah mempunyai pengalaman berkenaan urusan-urusan keIslaman sekadar yang membolehkan saudara melihat dan menghukumnya supaya selari dengan tuntutan-tuntutan fikrah perjuangan kita.
  15. Saudara hendaklah membuat sesuatu pekerjaan ekonomi sekalipun saudara sudah kaya-raya dan hendaklah saudara memilih dan membuat apa jua pekerjaan yang bebas sekalipun kecil. Ceburkanlah diri saudara ke dalam bidang berkenaan walau apa juga kedudukan ilmu pengetahuan yang ada pada saudara.
  16. Janganlah saudara mencari-cari kerja di dalam jabatan-jabatan kerajaan malah saudara hendaklah memandang pekerjaan seperti itu sempit pintu rezekinya. Tetapi jangan pula saudara terus menolak apabila datang peluang pekerjaan. Janganlah pula saudara lepaskan pekerjaan tersebut kecuali kalau ia benar-benar bertentangan dengan kewajipan-kewajipan dakwah kita.
  17. Saudara hendaklah berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab saudara dengan penuh amanah tentang kelicinan dan kehalusan pekerjaannya, jangan sekali-sekali anda menipu, malah saudara hendaklah menunaikan tugas tersebut tepat dengan mdan janjinya.
  18. Saudara hendaklah menuntut hak-hak saudara dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurnatanpa perlu dituntut dantidak menangguh-nangguhkan.
  19. Saudara hendaklah menjauhi permainan judi walau apapun jenisnya dan walau apapun tujuannya. Saudara juga hendaklah menjauhi sebarang cara penghasilan yang haram sekalipun memperolehi keuntungan dengan serta merta.
  20. Saudara hendaklah menjauhi amalan riba dalam seluruh muamalat malah hendaklah saudara membersihkan diri sama sekali dari sebarang amalan riba.
  21. Saudara hendaklah menggunakan harta kekayaan Umat Islam kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan institusi-institusi ekonomi Islam dan saudara hendaklah berjaga-jaga supaya jangan tercicir walaupun satu sen ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Janganlah saudara memakai dan memakan kecuali pakaian dan barang makanan yang dikeluarkan oleh negara Islam.
  22. Saudara hendaklah menyumbangkan untuk dakwah kita dari harta saudara dan jangan lupa mengeluarkan zakat yang wajib malah hendaklah saudara menguntukkan sedikit daripada harta itu untuk menolong pengemis-pengemis dan orang-orang yang terputus rezeki sekalipun pendapatan saudara sangatlah kecil.
  23. Saudara hendaklah menyimpan sebahagian dari wang pendapatan saudara untuk waktu-waktu kecemasan walaupun sedikit dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus di dalam amalan-amalan membelanjakan wang dalam perkara-perkara yang tidak mustahak.
  24. Saudara hendaklah berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam sebaliknya mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup. Di antara adat tersebut ialah cara-cara memberi hormat, bahasa, sejarah. Masa bercuti, makanan, minuman, cara-cara datang dan pergi, cara berduka, cara bersuka dan sebagainya. Dalam semua kebiasaan-kebiasaan itu saudara hendaklah beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
  25. Saudara hendaklah pulaukan mahkamah tempatan dan sebarang proses kehakiman yang bukan Islam, kelab-kelab, akhbar-akhbar, perkumpulan-perkumpulan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi yang menentang fikrah Islamiah. Pemulauan tersebut mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh.
  26. Saudara hendaklah sentiasa merasai diri saudara berada di bawah pengawasan Allah s.w.t, mengingati hari akhirat dan bersedia untuk ke sana dan hendaklah saudara mempertingkatkan perjalanan hidup sehari-hari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan hemat dan keazaman yang kuat. Dekatkanlah diri saudara kepada Allah s.w.t dengan cara mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang tahajud (di waktu malam), berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan, memperbanyakkan zikir di dalam hati dan lidah dan berdoa dengan doa-doa yang ma'thur dalam setiap keadaan.
  27. Saudara hendaklah melakukan dengan baik apabila bersuci (iaitu berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya) dan hendaklah saudara sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.
  28. Saudara hendaklah mengerjakan sembahyang dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang mungkin.
  29. Saudara hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji ke Baitullah apabila saudara berkemampuan pergi ke sana dan jika sekiranya saudara belum mampu hendaklah membuat persediaan untuknya mulai sekarang.
  30. Saudara hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan niat berjihad dan bercita-cita untuk mati syahid serta melakukan persediaan sedaya-upaya untuk berjihad dan mati bersama-sama dengan para syuhada'.
  31. Saudara hendaklah sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar. Saudara hendaklah memperuntukkan masa selama satu jam sebelum tidur untuk menghisab diri saudara tentang kebaikan-kenaikan dan kejahatan-kejahatan yang telah saudara lakukan. Saudara hendaklah menjaga masa kerana masa itu adalah kehidupan. Oleh itu janganlah saudara membazirkan masa itu walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah saudara menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubahat dan samar-samar hukumnya supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.
  32. Saudara hendaklah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu saudara sehingga mudah saudara mengendalikannys. Saudara mestilah menjaga penglihatan saudara (dari benda-benda atau tempat-tempat yang haram) dan kuasailah desakan-desakan naluri saudara dengan cara mengarahkannya kepada perkara-perkara yang halal lagi baik dan elakkanlah diri dari sesuatu yang haram walau apapun bentuknya.
  33. Saudara hendaklah menjauhkan diri sama sekali dari arak, minuman-minuman yang memabukkan dan minuman-minuman yang melemahkan kesihatan badan atau minuman yang seumpamanya.
  34. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari berdampingan dengan rakan-rakan yang jahat, kawan-kawan yang rosak dan segala tempat berlakunya maksiat dan dosa.
  35. Saudara hendaklah memerangi tempat-tempat permainan yang keji apatah lagi menghampirinya malah saudara juga menjauhkan diri dari cara hidup yang bermewah-mewahan dan bersenang-lenang.
  36. Saudara hendaklah mengenali anggota-anggota pasukan saudara demi seorang dengan sebenar-benar pengenalan. Di samping itu saudara juga memperkenalkan diri saudara kepada mereka sama seperti saudara mengenali mereka dengan cara menunaikan dengan sempurna hak-hak persaudaraan seperti kasih-sayang, menghargai, memberi pertolongan, mengutamakan diri mereka dan menghadiri majlis-majlis mereka, janganlah saudara ketinggalan dari menghadirinya kecuali keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Saudara hendaklah sentiasa membuktikan bahawa saudara benar-benar mengutamakan diri mereka dari diri saudara sendiri.
  37. Saudara hendaklah melepaskan diri daripada berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada fikrah perjuangan saudara terutama jika saudara disuruh berbuat demikian dengan kumpulan seperti itu.
  38. Saudara hendaklah bekerja untuk menyiarkan dakwah saudara di segenap ceruk rantau dan saudara hendaklah melaporkan kepada pucuk pimpinan tentang keadaan suasana yang mengelilingi saudara dan janganlah saudara melakukan sesuatu kerja yang menjejaskan dasar-dasar seruan kita melainkan dengan mendapat keizinan terlebih dahulu (dari pucuk pimpinan). Dalam melakukan kerja sedemikian, saudara hendaklah mempunyai hubungan yang rapat dengan pucuk pimpinan, malah dari sudut jiwa dan amalan saudara hendaklah menganggap diri saudara adalah seorang perajurit yang sentiasa bersiap-sedia di khemahnya, hanya menunggu saat menerima perintah dan tindakan.

Wirid Rabitah:

Saudara bacalah ayat-ayat suci di bawah ini dengan penuh tadabbur dan renungilah maksudnya:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ.

Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. (Surah Aali Imran, Ayat: 26 - 27).

Kemudian saudara hendaklah menghadirkan di dalam ingatan saudara rupa rakan-rakan yang saudara kenali merasakan wujudnya ikatan hubungan kerohanian dengan mereka dan rakan-rakan yang belum saudara kenali. Kemudian berdoalah untuk mereka semua dengan doa ini:

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لَا يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَي الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَي وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَي سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَي آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ.

Yang bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati (orang-orang yang dibayangkan) ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu lagi memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan mawaddah antara mereka. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati sanubari ini dengan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami".